fb fb fb fb fb

Guru mengaku bersalah perdaya dua wanita

MELAKA, 10 Oktober - Mahkamah Majistret Ayer Keroh mengenakan denda RM12,000 terhadap seorang guru sekolah agama, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memperdayakan dua wanita hingga melakukan hubungan intim, serta memiliki gambar lucah.

Ahmad Saifullah Abdul Khalid, 33, didakwa atas pertuduhan memperdayakan dua wanita berumur 19 dan 33 tahun, untuk mempercayai tawaran pinjaman wang berjumlah RM300 dan RM2,000, sehingga mendorong mangsa melakukan hubungan terlarang dengan tertuduh.

Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan di sebuah hotel di Plaza Mahkota pada 12.40 pagi 21 Mac lepas dan di sebuah premis di Jalan Tebing Tinggi, Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 11.00 pagi 1 Oktober lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, Ahmad Saifullah didapati memiliki tujuh keping gambar lucah dalam telefon bimbitnya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah sekolah di Ayer Molek dalam daerah Melaka Tengah pada 1.50 tengah hari 3 Oktober lepas, didakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleimanm, menetapkan denda RM3,500 bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua atau gagal bayar boleh dipenjara tiga bulan, manakala denda RM5,000 atau penjara 10 bulan bagi pertuduhan ketiga.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, manakala Ahmad Saifullah yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman denda kerana dia menanggung keluarga termasuk dua anak kecil.

(FOTO HIASAN)

Media Baharu