fb fb fb fb fb

STR ringankan beban peniaga kecil di Melaka, harap jumlah ditambah

Foto fail

BACHANG, 13 Ogos – Peniaga kecil di Melaka menyifatkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 yang mula diagihkan semalam meringankan beban kewangan, selain membantu pusingan modal perniagaan.

Nor Azah Othman berkata, bantuan itu membolehkannya menampung pelbagai keperluan lain tanpa menjejaskan modal perniagaan.

“Mengurangkan bebanlah bagi saya peniaga kecil ini, sama juga saya dapat menambah keperluan yang lain, tak adalah bebanan itu,” katanya.

Bagi Syarifah Maria Syed Husin, bantuan STR sedikit sebanyak membantu pembelian barangan asas, namun berharap nilai bantuan dapat ditambah.

“Bantuan ini membantu saya beli barang-barang keperluan semua.

Harapan saya kalau dapat ditambah lagi sebab barang pun makin mahal,” ujarnya.

Sementara itu, Zahari Yusof berkata, bantuan tersebut dapat digunakan bagi membeli barangan dapur dan keperluan harian.

“Ya, dapat kurangkan sikit tekanan kos sara hidup.

Maknanya duit itu dapat belanja barang dapur dan sebagainya,” katanya.

Pembayaran STR Fasa 3 telah mula dikreditkan ke akaun penerima sejak semalam oleh Kementerian Kewangan.

Menerusi peruntukan RM2 bilion, jumlah bayaran adalah sehingga RM650 bergantung kepada kelayakan isi rumah, warga emas dan bujang, membabitkan 8.6 juta penerima di seluruh negara.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN