fb fb fb fb fb

Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UKM

Canselor UKM, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Perniagaan Sosial kepada Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Profesor Dr Muhammad Yunus

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Perniagaan Sosial kepada Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Profesor Dr Muhammad Yunus sebagai pengiktirafan atas sumbangan besar beliau dalam pembangunan sosial dan ekonomi.

Anugerah disampaikan oleh Canselor UKM, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam majlis konvokesyen khas yang diadakan di Auditorium Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak, Cheras.

Naib Canselor UKM, Profesor Dr. Sufian Jusoh merakamkan ucapan tahniah kepada Dr Muhammad Yunus yang disifatkan sebagai tokoh berwibawa dan berpengaruh dalam membawa perubahan positif kepada Bangladesh.

"Profesor Dr Muhammad Yunus merupakan contoh kepimpinan transformasi berteraskan integriti, tadbir urus yang baik serta keyakinan bahawa ekonomi hanya kukuh apabila memenuhi keperluan semua pihak. Usaha beliau diiktiraf di peringkat antarabangsa sehingga dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 2006," katanya dalam ucapan beliau.

Hubungan Dr Muhammad Yunus dengan UKM diperkukuh menerusi penubuhan Yunus Centre for Social Business di universiti tersebut, yang berperanan mempromosikan konsep perniagaan sosial di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Dr Muhammad Yunus, pengasas Grameen Bank dan pelopor konsep mikro kredit telah menerima 67 ijazah kehormat daripada universiti di 26 negara.

Beliau juga pernah menghiasi muka depan majalah terkemuka seperti TIME, Newsweek dan Forbes, serta dinobatkan majalah Fortune sebagai salah seorang usahawan terhebat sepanjang zaman pada 2012.

Selain itu, beliau juga merupakan penulis buku-buku terlaris antaranya Banker to the Poor dan Building Social Business.

Pada tahun ini, Dr Muhammad Yunus dilantik sebagai Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh bagi memimpin reformasi institusi, demokrasi dan ekonomi negara tersebut.

MASNIZA AWANG KECHIK