fb fb fb fb fb

MB Selangor tuntut siasatan telus kematian pelatih PALAPES UTM Skudai

Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin

KUALA SELANGOR, 13 Ogos – Kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, perlu disiasat secara telus dan bebas daripada sebarang unsur meragukan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri memandang serius insiden tersebut dan akan memastikan keadilan diberikan kepada semua pihak.

“Saya ambil perhatian, malah perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Wira Johan selaku ADUN kawasan. Semalam saya juga bertemu dengan beberapa pihak.

Kita berharap penyiasatan dijalankan secara telus dan memastikan tiada sebarang kegiatan yang meragukan terhadap insiden yang menyebabkan kematian Allahyarham Syamsul Haris,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Wasatiyyah dan Peluncuran Selangor Bertadabbur 2025 di Selangor Technical Development Centre (STDC), di sini, pada Selasa.

Menurut Datuk Seri Amirudin, kerajaan negeri bersedia memberi bantuan sewajarnya dan memastikan pembelaan terbaik untuk waris.

Beliau memberitahu, turut merancang menziarahi keluarga Allahyarham dalam masa terdekat.

Sebelum ini, ibu Allahyarham Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun menuntut kubur anaknya digali semula bagi bedah siasat kedua kerana meragui punca kematian yang dilaporkan sebagai sawan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN