fb fb fb fb fb

23 projek tebatan banjir bernilai RM2.36 bilion dilaksana di Sarawak

Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Sebanyak 23 projek pembinaan dan naik taraf infrastruktur tebatan banjir sedang giat dilaksanakan di Sarawak, dengan peruntukan RM2.36 bilion.

Menurut Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, pelaksanaan projek berkenaan meliputi pelbagai aspek pengurusan banjir.

Ia termasuk program ramalan dan amaran awal banjir, sistem saliran mesra alam serta kerja-kerja pemuliharaan sungai dan pantai.

“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menyalurkan RM1.113 juta dari tahun 2022 hingga 2024 bawah projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir melibatkan enam sebut harga dengan skop kerja pengaluran sungai, penstabilan tebing sungai serta naik taraf saluran dan struktur berkaitan.

Bagi tahun 2025 pula, sejumlah RM280,000 telah diperuntukkan untuk melaksanakan dua sebut harga dengan skop sama dan dijangka siap sepenuhnya pada November 2025,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Anak Mongin, mengenai peruntukan dana bagi menyelesaikan masalah banjir, perparitan dan hakisan tebing sungai di kawasan parlimen tersebut.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN