fb fb fb fb fb

STR ringan beban, rakyat hargai bantuan kerajaan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Ogos - Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mengucapkan penghargaan kepada kerajaan atas bantuan yang diterima, untuk meringankan beban kos sara hidup, terutama dalam memenuhi keperluan harian.

Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Shahnizam Othman yang ditemui berkata, bantuan itu akan digunakan untuk membeli barangan dapur, sekali gus meringankan perbelanjaan harian keluarganya.

"Alhamdulillah kerajaan telah bantu kita, bolehlah tambah barang-barang dapur dan menampung kegunaan harian," katanya.

Sementara itu, pelajar Siti Nurazliliyana Mustafa berkata, bantuan tersebut akan digunakan untuk membeli buku dan peralatan berkaitan pembelajaran selain membeli barangan keperluan harian.

"Bantuan ini semestinya mengurangkan beban pelajar. Ia juga akan digunakan untuk membeli barangan berkaitan pembelajaran dan makanan," ujarnya.

Manakala Nurhanini Nahlul Muna Yusof merancang menggunakan bantuan tersebut untuk keperluan diri.

"Bantuan ini akan digunakan untuk perbelanjaan saya. RM100 masih mencukupi," katanya.

Bagi Sathveen Darshaan pula, bantuan yang diterima akan dibelanjakan untuk membeli barangan di pasar raya dan turut disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI