KUALA LUMPUR, 12 Ogos - Tanggungjawab penyelenggaraan pokok di jalan persekutuan dan negeri sedang diperhalusi melalui perbincangan antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Perkara itu susulan keputusan mahkamah yang mengalihkan tanggungjawab berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu, ketika ini KPKT mempunyai peruntukan bawah projek pembangunan BP1, namun ia terhad kepada skop sosial ekonomi, infrastruktur, kemudahan awam dan keselamatan.
"Manakala skop projek infrastruktur meliputi pembinaan dan menaik taraf jalan raya serta laluan yang berkaitan dengan kawasan PBT. Kementerian kini sedang berusaha mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memperhalusi perkara tersebut.
"Di peringkat negeri pula, kementerian menggalakkan PBT memohon peruntukan daripada penyelenggaraan tahunan jalan raya, khususnya melalui Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS)," katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mengenai usaha KPKT mendapatkan peruntukan tambahan untuk menyelenggara pokok di jalan persekutuan dan negeri.
Tambahnya, KPKT komited mengambil pendekatan komprehensif membantu PBT mencegah insiden pokok tumbang.
Antaranya termasuk melaksanakan pemeriksaan berkala bagi menilai tahap penjagaan dan risiko pokok serta memastikan setiap PBT mempunyai sekurang-kurangnya seorang arboris (doktor pokok) melalui kursus pentauliahan.