fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 : KKR cadang tambah peruntukan baik pulih jalan, sokong kontraktor kecil

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 12 Ogos - Peruntukan bagi tujuan baik pulih dan penyelenggaraan jalan menjadi antara fokus dibincangkan dalam cadangan penyediaan Belanjawan 2026 Kementerian Kerja Raya (KKR).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berpandangan ada keperluan untuk meningkatkan peruntukan bagi tujuan tersebut menerusi pembentangan belanjawan akan datang.

Perkara itu menjadi antara intipati yang dibincangkan menerusi sesi dialog belanjawan bersama penggiat industri pembinaan yang dilaksanakan hari ini.

Jelasnya, penambahbaikan dan penyelenggaraan tidak terhad kepada jalan utama, tetapi infrastruktur jalan di seluruh negara.

"Pertambahan peruntukan dari tahun-tahun yang sudah sebab memang kita dah buat kajian dan kita tahu ia memerlukan jauh lebih daripada yang kita selalu dapat setiap tahun apabila belanjawan dibentangkan.

"Memang kami mengharapkan peruntukan untuk baik pulih dan baiki jalan, dalam erti kata penyelenggaraan jalan termasuk jalan persekutuan, jalan-jalan di seluruh negara supaya diberi perhatian serius dan diberi peruntukan yang lebih supaya kita dapat mempertingkatkan usaha kita," katanya.

Beiau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas sesi Dialog Belanjawan 2026 Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama penggiat industri pembinaan di ibu negara.

Dalam sesi dialog tersebut Datuk Seri Alexander turut menerima maklum balas mengenai cabaran kenaikan kos bahan binaan daripada pemain industri.

Jelasnya, menerusi cadangan penyediaan Belanjawan 2026, KKR menyatakan komitmen membantu khususnya kontraktor kategori G1 hingga G4 yang terkesan susulan kenaikan tersebut.

"Memang ada dibangkitkan sebab lebih-lebih lagi mereka di peringkat G1 hingga G4 iaitu kontraktor kecil kita terkesan apabila ada kenaikan bahan, harga bahan pembinaan yang digunakan dalam sesuatu projek.

"Jadi, ini juga kita ambil maklum dan bukan sekadar ambil maklum kita tengok, semak bagaimana kita boleh membantu mereka dalam pembentangan belanjawan ini nanti. Saya harap ia boleh diambil kira. Tetapi, yang memutuskannya adalah pihak Kementerian Kewangan," katanya.

Datuk Seri Alexander turut memaklumkan beliau dijangka bertemu dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 22 Ogos depan bagi membentangakan insiatif utama KKR dalam Belanjawan 2026.

Sesi dialog belanjawan pada hari ini dipengerusikan Datuk Seri Alexander dan dihadiri hampir 200 individu yang mewakili pemegang taruh dan agensi kementerian berkaitan.

Ia dilaksanakan untuk mengumpulkan input dari pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan sektor pembinaan kekal berdaya saing, mampan dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI