BUKIT MERTAJAM, 12 Ogos - Pulau Pinang menawarkan hadiah keseluruhan RM20,000 dalam Pertandingan Anugerah Komuniti Mampan di negeri itu menerusi pelbagai program untuk meningkatkan kadar kitar semula khususnya di bahagian Seberang Perai.
Perkara itu dilihat sebagai usaha membantu mengurangkan sisa pepejal ke tapak pelupusan selain menjana pendapatan dalam negeri itu.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason H'ng Mooi Lye berkata, setakat ini kadar kitar semula di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berada pada tahap 59 peratus.
Antara program berkaitan yang dilaksanakan bagi mencapai objektif itu ialah Anugerah Komuniti Mampan.
Ia dilihat penting dalam menggalakkan penyertaan daripada komuniti pelbagai lapisan masyarakat dan usia.
"Kadar kitar semula di Majlis Bandaraya Seberang Perai adalah 59 peratus, bagaimanapun kita usaha lagi dengan adanya aktiviti-aktiviti ini dapat menarik perhatian kepada semua.
"Bahan-bahan yang dikitar semula boleh dijadikan bahan lain supaya kita dapat menambah hasil kepada persatuan-persatuan. Ini sekali gus membantu kerajaan negeri untuk mengurangkan sisa pepejal sampah di tapak pelupusan sampah.," katanya.
Beliau ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pertandingan Anugerah Komuniti Mampan di Bukit Mertajam.