fb fb fb fb fb

Stoking kalimah Allah: JAKIM panggil pihak KK Supermart, beri amaran keras

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 19 Mac - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyokong tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah membuka kertas siasatan terhadap isu penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata pihaknya telah memanggil Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart and Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai semalam dan telah memberi amaran keras supaya perkara tersebut tidak lagi berulang.

"Pihak KK Supermart and Superstore Sdn Bhd juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemas kini Prosedur Operasi Standard syarikat," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Hakimah, JAKIM sebagai institusi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan memandang serius terhadap isu tersebut kerana ia bukan sahaja melibatkan sensitiviti keagamaan malahan boleh menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

"JAKIM memberi peringatan kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN