KUALA LUMPUR, 19 Mac - Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) hari ini bersetuju supaya Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM membangunkan satu indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat sehingga ke peringkat daerah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan indikator tersebut ianya sekali gus dapat membantu kerajaan merangka pelaksanaan program yang lebih tepat dan berkesan.
"Mesyuarat telah membincangkan dengan terperinci beberapa perkara terkait kos sara hidup rakyat khususnya berkaitan isu harga dan ketersediaan bekalan beras dalam negara.
"Beberapa mekanisme jangka pendek telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Anwar yang mempengerusikan mesyuarat itu di Bangunan Parlimen hari ini turut menekan keperluan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan atas peluasan skop dan perubahan kadar Cukai Perkhidmatan yang dilaksanakan ke atas beberapa perkhidmatan terpilih.
"Dalam hal ini, KPDN telah melancarkan pemeriksaan khas di bawah Ops Kesan bermula 1 Mac lalu bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya," katanya.