fb fb fb fb fb

Ambil iktibar isu stoking kalimah Allah - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

SLIM RIVER, 19 Mac - Isu penjualan stoking tertera kalimah Allah oleh sebuah rangkaian kedai serbaneka baru-baru ini perlu diambil iktibar dan pihak yang terlibat diingatkan agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara sensitif yang terkelas dalam 3R (Agama, Institusi Diraja dan Kaum) itu, tidak harus dipandang ringan.

Beliau berkata, walaupun permohonan maaf telah dibuat oleh pihak pengurusan pasar raya berkenaan, namun isu tersebut perlu diselesaikan segera supaya ia tidak disalah tafsir dan tidak dimanipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Pada hemat saya harus segera diselesaikan permohonan maaf telah dibuat dan saya yakin bahawa perkara ini tidak akan berlaku lagi dan mereka tentunya akan lebih berhati-hati dan kita harap mana-mana supermarket ataupun hypermarket yang mempunyai rangkaian di seluruh negara belajar daripada apa yang dihadapi ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Iftar Majlis Santunan Kasih Ramadan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak, di sini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pihaknya menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengingatkan semua lapisan masyarakat, agar menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi diraja.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN