fb fb fb fb fb

Stok penimbal ubat-ubatan kerajaan mula diagihkan ke klinik swasta

CYBERJAYA, 22 Julai- Stok penimbal ubat-ubatan kerajaan yang diuruskan Pharmaniaga Berhad telah diagihkan kepada klinik swasta sejak semalam susulan kekurangan ubat-ubatan tertentu di pasaran.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, keadaan itu berpunca daripada kekurangan ubat-ubatan disebabkan permintaan di luar jangkaan terutamanya ubat demam, batuk dan selesema, jika dibandingkan sebelum tercetusnya pandemik COVID-19.

"Kalau anda lihat ubat-ubatan yang diterima daripada klinik swasta ada cap KKM, perkara itu memang sah kita jual sebab kita lepaskan stok penimbal ini bagi menampung keperluan semasa antaranya ubat paracetamol dan ubat batuk," kata Khairy pada sidang media selepas merasmikan Hematogenix Malaysia iaitu makmal penyelidikan Klinikal Onkologi pusat yang pertama di Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Khairy turut mengulas lanjut berhubung laporan empat kluster baharu Influenza yang dikenal pasti pada minggu Epid ke-29.

Menurut Khairy, jumlah itu mencatatkan peningkatan 169 kluster berbanding jumlah kumulatif kluster yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Mengikut data dari segi kluster, kluster sekolah adalah paling banyak iaitu sebanyak 213 kluster diikuti 16 kluster di tadika.

Mesej yang kita perlu hantar adalah terutamanya kepada ibu bapa dan pengasuh serta guru-guru di sekolah supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran dan pelajar-pelajar," tambah Khairy.

Namun begitu, tiada kes kematian dilaporkan dari kesemua 235 kluster yang telah direkodkan sepanjang tahun ini.


(FOTO REUTERS)

 

Media Baharu