CYBERJAYA, 22 Julai- Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok bakal dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata cadangan pelaksanaan peruntukan Generasi Penamat (GEG) dalam RUU tersebut adalah bertujuan untuk melindungi generasi muda yang lahir selepas 2005, terjebak dengan tabiat merokok seiring dengan matlamat mengurangkan peratusan perokok di Malaysia menjelang 2040.
Tambah Khairy lagi, RUU berkenaan telah dipersetujui oleh pemegang taruh utama termasuk badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan dan pengusaha vape.
"RUU ini bukan soal generasi penamat semata-mata tetapi ia juga RUU untuk mengawal selia industri vape. Vape adalah 'illegal' sekarang ini namun dengan undang-undang ini saya boleh kawal selia.
Tidak ada seorang pun yang waras, mahu anak mereka yang belum merokok untuk mula merokok. Oleh itu, kalau pemegang taruh utama semua dah setuju, harapan saya adalah Ahli Parlimen juga akan bersetuju," kata Khairy dalam sidang media selepas merasmikan Hematogenix Malaysia iaitu makmal penyelidikan Klinikal Onkologi di Cyberjaya.
Sementara itu, Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) bersetuju serta menyokong cadangan Generasi Penamat (GEG) di dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Pihak persatuan juga sedia bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam isu kawal selia Industri Vape Malaysia.
"Kami berharap agar semua Ahli-Ahli Parlimen ketepikan perbezaan ideologi politik dan bersatu menyokong RUU ini di Dewan Rakyat nanti," kata kenyataan yang dimuat naik di Facebook MEVTA.
(Foto Fail)