fb fb fb fb fb

KUSKOP sasar 2,000 ahli persatuan penjaja, peniaga kecil sertai Duta Komuniti

KOTA BHARU, 22 Julai - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan sekurang-kurangnya 2,000 ahli daripada persatuan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara menyertai Duta Komuniti tahun ini.

Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP, Abdullah Abd Rahman berkata Duta Komuniti akan memainkan peranan dengan memberi peringatan mesra mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka yang betul dan sebagainya jika terdapat majlis yang diadakan di kawasan mereka.

"Kita pilih mana-mana ahli mereka (persatuan penjaja) yang aktif di kawasan mereka untuk pastikan di pasaraya atau pasar malam, ada orang yang akan beri khidmat sukarela," kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kit Kelengkapan Duta Komuniti kepada 20 wakil komuniti penjaja Kelantan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini.

Hadir sama Ahli Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Abd Majid.

Setakat ini jelas Abdullah, 200 penjaja melibatkan sembilan lokasi telah dilantik sebagai Duta Komuniti.

Mereka akan mengikuti latihan yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai peranan mereka.

(Abdullah Abd Rahman (tengah) bersama wakil komuniti penjaja di Kelantan yang dilantik sebagaiĀ 
Duta Komuniti)

Bagi penjaja terlibat, mereka berbesar hati dengan amanah diberikan dan akan menggalas tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin.

"Alhamdulillah kali ini dilantik sebagai duta kecil di Kelantan jadi Insya-Allah kami akan menyokong penubuhan ini dan apa yang mereka inginkan, setakat kita mampulah," kata Bendahari Persatuan Penjaja, Peniaga Kecil Melayu Kelantan, Muhd Nasharuddin Rafi.

Program Duta Komuniti dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena JAKM Perlis pada 25 Mac lalu.

Program yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mematuhi SOP selepas negara beralih ke fasa endemik.

JAKM Kelantan siri keenam pada hari pertama menyaksikan orang ramai khususnya penduduk negeri itu berkunjung ke gerai-gerai pameran yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dan pameran daripada 26 kementerian terlibat.

Majlis perasmian akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pukul 10 pagi esok.

Sempena lawatan kerja esok, Perdana Menteri dijadual menghadiri Majlis Bekwoh sempena JAKM dan merasmikan Hab Digital Ketereh dan 5G di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat.

Media Baharu