(Tan Sri Noh Omar ditemu bual media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-42
Pertubuhan Peladang Kawasan Tanjong Karang)
KUALA SELANGOR, 22 Julai - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bercadang untuk membantu usahawan yang sudah memulakan perniagaan menggunakan modal sendiri dengan memberi keutamaan dalam mendapatkan pinjaman untuk mengembangkan perniagaan.
Menurut Menterinya, Tan Sri Noh Omar, dengan kemudahan pinjaman tersebut, ia dapat menambah baik perniagaan sedia ada untuk menjadi lebih berdaya saing dan kompetitif.
"Kerana dia memang serius, dia betul betul jadi usahawan, dia memohon itu untuk 'extend' (lanjutkan), untuk memperbesarkan lagi, jadi usahawan macam ini yang kita patut berikan keutamaannya," kata beliau selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-42 Pertubuhan Peladang Kawasan Tanjong Karang, di sini.
(Foto fail)
Tambah Noh lagi, sekiranya cadangan itu direalisasikan, pihaknya akan menyenaraikan semua usahawan yang telah memulakan perniagaan tanpa membuat mana-mana pinjaman.
Inisiatif tersebut seiring dengan perubahan ekonomi yang menggalakkan lebih ramai usahawan untuk mencari inisiatif sendiri dalam memulakan perniagaan.
Dalam pada itu, Noh turut memaklumkan KUSKOP sedang berusaha untuk mengimport bekalan ayam sejuk beku bagi memastikan barangan keperluan itu sentiasa mencukupi.
Pihaknya melalui kedai koperasi atau Coopmart sedang berusaha membawa masuk ayam sejuk beku dari luar negara yang dijangka mula dilaksanakan pada bulan September.
"Kita akan membawa ayam daripada luar, untuk kita gunakan logo COOP, untuk kita nak jual ayam ini di COOP dan di pasaran, tapi logo kita COOP lah dan kita punya jaminan harga lagi murah dari di luar, kita dalam proses (melaksanakannya) sekarang," kata beliau.
Selain ayam sejuk beku, barangan yang telah dikenal pasti untuk dijual di Coopmart dengan harga lebih lebih murah dari pasaran termasuk beras, gula, tepung dan minyak masak.