fb fb fb fb fb

Hari Sarawak: 22 Julai 1963 wajar diperingati

KUCHING, 23 Julai - Tarikh 22 Julai 1963 wajar diperingati sebagai titik permulaan Sarawak mempunyai kuasa untuk ditadbir oleh anak Sarawak sendiri, apabila mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri pertama Kerajaan Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sejak 100 tahun pemerintahan keluarga Brooke, diikuti penaklukan oleh Jepun dan seterusnya penyerahan Sarawak kepada pentadbiran British, negeri ini tidak pernah mempunyai Kerajaan yang ditadbir oleh anak Sarawak sendiri sebagai Ketua Kerajaan.

Justeru itu katanya, Hari Sarawak yang dirai setiap tahun menjadi titik penyatuan rakyat untuk mengejar impian menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.

Beliau turut bertegas dalam mempertahankan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

"MA63 adalah perjanjian suci yang tidak boleh diubah atau dihaluskan dalam apa cara sekalipun dan dalam apa jua bentuk.

"Segala isi kandung yang dimasukkan oleh pemimpin terdahulu ketika pembentukan Malaysia adalah yang anggap perlu untuk melindungi hak dan kepentingan negeri ini dan rakyatnya." katanya ketika berucap pada Majlis Perayaan Sambutan Hari Sarawak 2022 yang diadakan di Stadium Tertutup Sibu pada Jumaat.

Beliau berkata cadangan supaya MA63 diubah tidak sepatutnya dibuat sama sekali, apatah lagi beberapa hak dan keistimewaan Sarawak sedia ada sama ada sudah terhakis  atau belum ditunaikan selepas 59 tahun.

“Perkara yang perlu dilakukan Kerajaan Persekutuan ialah menunaikan sepenuhnya perjanjian bapa pengasas negara ini dalam semangat Keluarga Malaysia dan tidak menangguhkannya.

"Sebagai contoh, hak kami sebagaimana termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958) yang nyata wujud sebelum 1963, tidak pernah dimansuhkan dan akan terus dikuatkuasakan dan memberikan kuasa kepada kami ke atas sumber petroleum kami di darat,” kata Abang Johari. 

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

Media Baharu