KUALA LUMPUR, 13 November- Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggal dunia pagi ini. Menurut laporan Bernama, perkara itu disahkan peguam allahyarham Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.
Allahyarham atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin meninggal dunia pada usia 86 tahun di sebuah hospital swasta. Gurdial Singh memberitahu, allahyarham dimasukkan ke hospital itu sejak dua minggu lepas.
Daim sebelum ini memegang jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, dan kali kedua pada 1999-2001 dan dikenali sebagai arkitek ekonomi negara, khususnya dalam menangani krisis kewangan 1998.
Allahyarham dilahirkan pada 29 April 1938 di Derga, Alor Setar, Kedah Darul Aman, berkahwin pada 1977 dan dikurniakan tiga orang anak.
Memulakan pendidikan pada tahun 1945 di Seberang Perak Malay School, Alor Setar, Kedah, kemudian di Sultan Abdul Hamid College, Alor Setar pada tahun 1949 dan St. Xavier High School pada tahun 1954.
Tamat sekolah menengah allahyarham menyambung pengajian di beberapa universiti termasuk di Barrister-at-Law, Lincoln's Inn pada 1959, dan tamat pengajian pada usia 21 tahun.
Selepas itu allahyarham menyambung pengajian dalam perancangan bandar pada tahun 1977 – 1979 di University of California, Berkle.
Allahyarham turut menerima beberapa Ijazah Kehormat; 1991 Hon. D. Sc. Dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM); 1995 Hon. D. Ec dari Universiti Sains Malaysia (USM); 1997 Hon. Ph. D (Management) dari Universiti Utara Malaysia (UUM); Honorary Doctorate in Economics pada September 2004 dari Universiti Kebangsaan Malaysia UKM.
Pada September 2014 menerima Honorary Degree of Doctor Economics dari University Malaysia Perlis (UniMAP) ; Ijazah Doktor Falsafah (PHD), Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya pada september 2019.
Dalam kerjaya, allahyarham dilantik sebagai Menteri Kewangan pada Julai 1984, kemudian meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 15 Mac 1991 dan menjadi Penasihat Ekonomi Kerajaan.
Pada Disember 1997 sehingga 01 Jun 2001 beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN); majlis yang ditubuhkan sebagai satu Badan Perunding untuk memberi nasihat kepada kabinet mengenai cara mengatasi masalah ekonomi dan untuk meningkatkan ekonomi.
Pada 24 Jun 1998, allahyarham dilantik semula memasuki kabinet sebagai Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, kemudian pada 08 Januari 1999 – 11 November 1999 dilantik sebagai Menteri Kewangan Pertama dan kekal sebagai Menteri Tugas-tugas Khas.
Pada 14 Disember 1999 sehingga 01 Jun 2001, allahyarham dilantik semula sebagai Menteri Kewangan, dan Menteri Tugas-tugas Khas dan Jun 2001 meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan, Menteri Tugas-Tugas Khas, dan semua jawatan kerajaan lain. Ia merupakan perletakan jawatan kedua sebagai Menteri Kewangan.
Dalam politik allahyarham pernah dihantar ke Sarawak untuk membantu menyelesaikan krisis politik Kalong Ningkan oleh Tun Abdul Razak.
Pernah dilantik sebagai senator, menjadi Ahli Parlimen Kuala Muda, Merbok mewakili Barisan Nasional-UMNO, dilantik sebagai Bendahari UMNO dan Barisan Nasional, Ketua UMNO Bahagian Merbok dan banyak lagi jawatan penting lain dalam parti.
Selepas beliau meletak jawatan pada 1 Jun 2001 sebagai Bendahari UMNO, allahyarham tidak lagi menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO.