ISKANDAR PUTERI, 13 November - Premis-premis perindustrian di Kulai, Johor bakal melalui proses pemutihan berikutan isu lambakan kilang haram di daerah berkenaan ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menegaskan, tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar piawaian ditetapkan.
Menurutnya, usaha itu dibuat bagi membendung kes pencemaran, khasnya berkaitan pelepasan asap karbon dan pembuangan sisa tercemar ke sungai.
Premis yang berstatus usang juga akan dikenakan tindakan tegas, termasuk penutupan operasi serta-merta.
"Kalau kita nak buat pemutihan, maksudnya kita boleh buat pengawalan. Jika berlaku pencemaran seperti ini, kita boleh ambil tindakan segera.
"Kalau masih lagi ada isu seperti itu, biasanya dalam kes pencemaran ini, saya ingat masyarakat sudah peka dan boleh buat aduan pada bila-bila masa supaya tindakan boleh diambil segera," katanya selepas menyempurnakan Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon 2024 di Iskandar Puteri, Johor.
Dalam perkembangan berkaitan, pihaknya berjaya menamatkan perkhidmatan dua kilang memproses tayar terpakai di Kulai, Johor, yang sebelum ini, dilaporkan beroperasi tanpa lesen.
Penguatkuasaan itu dibuat selepas mereka menjalankan kegiatan yang bertentangan daripada aktiviti yang diikrarkan, selain turut mengundang kepada pencemaran alam sekitar