fb fb fb fb fb

Kes Zara Qairina: Jangan jadi hakim sendiri

Foto- RTM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengamalkan sikap vigilantisme dengan menjatuhkan hukuman atau membuat penghakiman sendiri berhubung kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata siasatan sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk penggalian semula mayat untuk proses autopsi yang akan dilaksanakan segera.

“Bukan semua yang tersebar di media sosial boleh disahkan sebagai maklumat sahih. Kita perlu berhati-hati. Don’t take matters into your own hands. Jangan mengamalkan vigilantisme di mana kita menjadi hakim, juri dan pelaksana hukuman,” katanya.

Datuk Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi, Pantai Dalam.

“Kementerian Dalam Negeri dan pihak Bukit Aman akan mengendalikan proses itu dengan tepat dan kita tidak mahu berlengah. Dalam masa terdekat, kita harap kertas siasatan dapat dilengkapkan supaya timbalan pendakwa raya boleh membuat keputusan yang dapat membawa sesiapa yang bersalah ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar berhati-hati dan tidak menyebarkan berita palsu atau spekulasi, khususnya berkaitan insiden tersebut.

Menurut Datuk Fahmi lagi, PDRM kini boleh menjalankan siasatan terhadap kes buli berdasarkan peruntukan baharu dalam Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025.

Langkah itu, katanya, bertujuan menangani isu buli dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN