fb fb fb fb fb

PM ke Kelantan, tinjau padi organik pertama di Asia Tenggara

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau sekitar Projek penanaman padi sempena lawatanya di negeri Kelantan di Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Desa Gemalai Baruh Padi Alami hari ini. Foto-BERNAMA

KOTA BHARU, 9 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini meninjau pelaksanaan projek penanaman padi organik di Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Desa Gemalai Baruh Padi Alami, Mulong.

Beliau tiba kira-kira pukul 11.15 pagi diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, dan Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad, sebelum mendengar taklimat mengenai projek berkenaan.

Dalam lawatan selama 30 minit itu, Datuk Seri Anwar meninjau kawasan tapak tanaman padi dengan berjalan kaki, selain melihat penggunaan sistem solar bagi pengairan dan saliran di kawasan seluas 8.49 hektar.

Pengusaha Desa Gemalai, Mohd Yusri Mohamad Nor, berkata beliau teruja dan bangga apabila projek rintis yang diusahakan sejak musim 1/2023 menerima kunjungan Perdana Menteri.

Projek berkonsepkan amalan pertanian mesra alam itu tidak menggunakan baja dan racun kimia sintetik.

Menurut Mohd Yusri, sehingga kini purata hasil padi yang dicapai adalah antara 4.85 hingga 5.25 tan sehektar dengan bantuan nasihat serta pengembangan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui KADA.

“Kami bermula dua tahun lalu sebagai projek rintis bersama KADA yang membantu dari segi agro-pelancongan di bawah Kementerian Pertanian dan juga dalam pembangunan Padi Alami ini. Ia satu-satunya padi di Malaysia dan Asia Tenggara yang ditanam tanpa penggunaan baja dan racun kimia seratus peratus. Kami sudah buktikan bumi Malaysia subur, padi boleh hidup dan hasil dapat dituai. Kami jangka menuai musim kelima pada September depan,” katanya.

Mohd Yusri berkata, Desa Gemalai kini dalam proses mendapatkan persijilan MyOrganik daripada Jabatan Pertanian Malaysia.

Selain penanaman padi, katanya, Desa Gemalai turut menjadi lokasi pilihan pengunjung dalam sektor agro-pelancongan.

Ujarnya, usaha itu seiring dengan inisiatif Kerajaan MADANI melalui KPKM dan KADA yang menyalurkan Geran Bantuan Pusat Agro-Pelancongan bernilai RM166,000 pada 2024 bagi menaik taraf kemudahan di kawasan tersebut.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN