fb fb fb fb fb

Stok bekalan ikan mencukupi sepanjang musim tengkujuh – LKIM

Penerima Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan LKIM Negeri Terengganu./Foto Facebook LKIM Terengganu

DUNGUN, 9 Oktober – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan stok bekalan ikan mencukupi bagi menampung keperluan rakyat di seluruh negara sepanjang musim tengkujuh tahun ini.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil, berkata pihaknya telah membuat persediaan rapi bagi memastikan bekalan ikan stabil sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan.

Beliau berkata, LKIM juga akan memastikan harga ikan di pasaran kekal stabil bagi melindungi kepentingan pengguna.

“Berdasarkan simpanan sedia ada, kita anggarkan terdapat kira-kira 1,900 tan metrik ikan, dengan 300 tan metrik daripada simpanan LKIM sendiri dan 1,600 tan metrik lagi disumbangkan oleh pihak swasta.

“Kita berharap kerjasama ini dapat menjamin bekalan ikan mencukupi dan harga kekal stabil sepanjang musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Dungun di Dewan Serbaguna LKIM, di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Faiz, LKIM turut menjalin kerjasama dengan pemborong dan pembekal ikan swasta bagi tujuan penyimpanan stok, selain bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk pemantauan harga agar tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.

“LKIM bertanggungjawab memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat bekalan ikan mencukupi dengan harga yang munasabah di pasaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, LKIM turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 219 nelayan di seluruh negara yang terjejas akibat bencana banjir tahun ini bawah Skim Bantuan Bencana Alam, membabitkan kos keseluruhan lebih RM16,000.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI