KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Pelaburan berterusan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) merupakan asas penting bagi mendorong kemajuan teknologi serta pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata komitmen jangka panjang dalam R&D tidak seharusnya bersifat bermusim, sebaliknya perlu dijadikan keutamaan dalam perancangan dasar negara termasuk dalam peruntukan Belanjawan 2026 yang akan datang.
"Kalau kita tengok kepada negara-negara lain, pelaburan dalam R&D itu besar. Sebagai contoh, Korea melaburkan 4.5 peratus daripada KDNK mereka dalam R&D — sebab itu mereka jauh ke hadapan berbanding kita. Malaysia hanya sekitar 1 peratus, dan saiz KDNK kita pun tidak sebesar mereka. Jadi ia memang berkait langsung dengan pembangunan negara. Kita harap lebih banyak boleh dilaburkan dalam R&D,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Bioxceed 2025, sempena Ekspo Inovasi dan Pengkomersilan Kebangsaan (NICE 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Tambah beliau, perancangan jangka panjang hanya dapat digerakkan dengan aliran peruntukan yang stabil dan tidak bersifat sementara.
Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan penemuan baharu hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada teknologi yang memberi manfaat nyata kepada masyarakat dan industri.
Program Bioxceed 2025 yang dilancarkan hari ini merupakan hasil kerjasama antara Bioeconomy Corporation dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).
Inisiatif tersebut bertujuan membantu pengkomersialan teknologi tempatan serta memperkukuh ekosistem bioteknologi negara melalui sokongan dalam aspek pembiayaan, pasaran dan kepakaran.