fb fb fb fb fb

Steven Sim ketuai delegasi ke Persidangan Buruh Antarabangsa di Geneva

Menteri Sumber Manusia Steven Sim

PUTRAJAYA, 10 Jun- Menteri Sumber Manusia Steven Sim hari ini mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa Sesi (ILC) ke-112 berlangsung pada 10 hingga 14 Jun di Geneva, Switzerland.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi satu kenyataan memaklumkan Sim akan menyampaikan ucapan negara dalam sidang plenari yang menyentuh mengenai pembaharuan kontrak sosial bagi menyokong tema persidangan ILC tahun ini.

“Penyertaan Sim ke persidangan ini amat penting dan signifikan kerana Malaysia akan mendepositkan dokumen ratifikasi Occupational Safety and Health Convention, 1981 (No. 155) Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) kepada Ketua Pengarah ILO.

“Beliau juga akan menyertai beberapa acara penting seperti mesyuarat dua hala dengan rakan sekerja dari Filipina dan Nepal bagi membincangkan ruang kerjasama dalam bidang perburuhan dan pembangunan sumber manusia antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Sim turut dijadual menghadiri mesyuarat bersama Sekretariat Forum Ekonomi Dunia, perwakilan tertinggi tripartite antarabangsa iaitu International Trade Union Confederation (ITUC) dan International Organisation of Employers (IOE) serta perjumpaan dengan pakar ILO dalam bidang platform ekonomi dan standard perburuhan.

Menurut KESUMA, penyertaan Sim dan delegasi membuktikan komitmen tinggi kerajaan memastikan standard perburuhan negara dapat ditingkatkan selari dengan standard perburuhan antarabangsa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE