fb fb fb fb fb

Status bekalan beras, pertemuan dengan KPDN akan diadakan - MB Selangor

SHAH ALAM, 20 September- Kerajaan Selangor akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mendapatkan penjelasan mengenai status bekalan beras di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu dilaksanakan bagi membantu meringankan beban rakyat negeri tersebut.

Ke arah itu, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengadakan kempen jualan beras Ehsan, bermula hari ini.

"Kerajaan Selangor melalui PKPS telah bersedia untuk melakukan intervensi (jualan beras) dan lima lokasi yang kita buat itu (adalah) langkah awal.

"Kalau kita lihat bekalan kritikal, kita akan menukar sebahagian JER (Jualan Ehsan Rakyat) untuk menyelesaikan masalah beras.

"Ini sebagai sebahagian solusi kita untuk membantu menangani masalah kekurangan bekalan, sampai stabil kadar beras ataupun bekalan barangan tersebut," katanya selepas melancarkan lori kompaktor baharu dan imej korporat KDEB Waste Management di sini.

Bagi peringkat awal pelaksanaan kempen, sebanyak 2,700 kampit beras sehari dibekalkan di lokasi terbabit dengan beras lima kilogram ditawarkan pada harga serendah RM13.

Namun, Amirudin menegaskan, pendekatan intervensi bersifat sementara dan tidak boleh berkekalan lama kerana tujuannya adalah bagi proses penstabilan bekalan dan harga.

“Sekarang adakah jualan harga ayam telah turun atau stabil, itu semua saya kena dapatkan maklum balas (daripada pihak berkaitan),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bekalan beras Ehsan keluaran PKPS masih mencukupi di Selangor dengan pengeluaran utama adalah di Sekinchan.

(Amirudin Shari)

Media Baharu