(Mohamad Fauzi Md Isa (tengah) pada Sidang Pleno SOMRI di Da Nang, Vietnam)
DA NANG, 20 September- Malaysia telah bersetuju untuk menjadi Naib Pengerusi Kumpulan Kerja Maklumat, Media dan Latihan ASEAN pada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab Mengenai Maklumat (SOMRI) yang berlangsung di sini, Rabu.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata, semua negara anggota yang menyertai mesyuarat berkenaan hari ini bersetuju dengan penyandangan jawatan itu bagi tempoh 2023 hingga 2025.
“Pada mesyuarat kali ini Malaysia telah menawarkan diri untuk menjadi naib pengerusi kepada kumpulan kerja berkenaan. Tawaran itu disambut baik oleh pengerusi (Vietnam) dan dipersetujui secara sebulat suara oleh ahli mesyuarat.
“Menerusi kumpulan kerja ini, Malaysia melihat peluang dan ruang untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman khususnya dalam bidang maklumat, media dan latihan bersama negara ASEAN yang lain,” katanya kepada Bernama, selepas menghadiri Sidang Pleno SOMRI.
Beliau berkata, menerusi kumpulan kerja itu, Malaysia juga akan memberi tumpuan kepada usaha membendung penyebaran maklumat tidak tepat dan maklumat palsu bersama Pasukan Petugas ASEAN bagi Menangani Berita Palsu (TFFN) yang berada di bawah kumpulan kerja ini.
Mesyuarat pertama TFFN pada Oktober lepas memutuskan supaya diwujudkan mekanisme kerjasama khusus sesama negara anggota ASEAN dengan matlamat untuk menangani dan mengurangkan kesan buruk berita palsu di rantau Asia Tenggara.
Mohamad Fauzi berkata, Malaysia sendiri berkongsi mekanismenya untuk mengekang penyebaran berita tidak tepat menerusi kerjasama strategik beberapa agensi negara termasuk melantik jurucakap rasmi kerajaan selain mewujudkan laman web rasmi serta saluran sosial media rasmi dan rangkaian semakan fakta seperti Sebenarnya.my dan MyCheck.
“Tidak ketinggalan, program serta kempen kesedaran dan perundangan yang mendidik rakyat Malaysia supaya lebih berhemah dalam menggunakan media sosial seperti kempen Klik Dengan Bijak menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
Mengenai Pelan Tindakan TFFN, beliau berkata Malaysia melihat pelan itu sebagai rangka kerja yang boleh membantu negara ASEAN untuk merancang dan melaksanakan program serta inisitiaf secara strategik untuk memerangi penyebaran maklumat tidak tepat di rantau ini.
“Malaysia telah berkongsi perspektif kita bersama ASEAN dan amat menyokong draf Pelan Tindakan TFFN,” katanya.
Mohamad Fauzi mengetuai delegasi Malaysia ke SOMRI yang berlangsung dari 20 hingga 21 Sept di Furama Resort Danang.
Turut serta dalam delegasi ialah Pengarah Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan (JaPen) Datuk E.Sivabalan; Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin serta pegawai-pegawai kanan lain daripada kementerian dan agensinya.
SOMRI akan diteruskan oleh Persidangan Menteri-menteri ASEAN Bertanggungjawab Bagi Maklumat (AMRI) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan kali ke-16 pada 22 dan 23 Sept. Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu.
Dengan tema ‘Media: From Information to Knowledge for a Resilient and Responsive ASEAN’, mesyuarat SOMRI antara lain memfokuskan pada usaha menangani salah maklumat dan membanteras berita palsu, bagi membina Komuniti ASEAN yang lebih berdaya tahan dan responsif. -BERNAMA
(Mohamad Fauzi Md Isa)