fb fb fb fb fb

CUEPACS mohon gaji penjawat awam naik RM300

(Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 20 September- Kerajaan dimohon menaikkan gaji penjawat awam sebanyak RM300 menerusi pembentangan Belanjawan 2024.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata pihaknya juga berharap kerajaan memberikan bonus minimum satu bulan setengah kepada penjawat awam.

"Kenaikan gaji sebanyak RM300 ini boleh meningkatkan gaji bersih (take-home pay) serta memberi kelegaan kepada penjawat awam sementara menunggu tempoh sistem saraan baharu dilaksanakan pada 2025.

"Kali terakhir penjawat awam menerima bonus satu setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 adalah pada 2012 dan selepas itu hanya diberikan bantuan khas kewangan.

"Ia dapat membantu penjawat awam menghadapi peningkatan kos sara hidup, selain meningkatkan motivasi dalam kalangan mereka,” kata Adnan menerusi kenyataan.

Sementara itu, Adnan berkata CUEPACS turut memohon diskaun sekurang-kurangnya 30 peratus bagi pembayaran cukai pendapatan kepada semua penjawat awam dan meningkatkan jumlah pengiraan pencen kepada jumlah tahun perkhidmatan sehingga 35 tahun bagi memaksimumkan pencen yang akan diterima penjawat awam.

Ketika ini, pengiraan pencen penjawat awam adalah terhad kepada 360 bulan atau 30 tahun tempoh perkhidmatan.

Menurut Adnan, bagi tempoh perkhidmatan lebih 30 tahun dan ke atas, pengiraan pencen bulanan diambil terus 60 peratus daripada gaji pokok akhir atau 3/5 daripada gaji pokok akhir.

Situasi itu akan mengakibatkan mereka yang berkhidmat lebih daripada 30 tahun tidak dapat menikmati jumlah maksimum pencen berdasarkan perkhidmatan mereka.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu