fb fb fb fb fb

Startup ASEAN: Malaysia sasar 10,000 syarikat pemula tahun ini

Chang Lih Kang/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Jun- Malaysia menyasarkan untuk melibatkan sekurang-kurangnya 10,000 syarikat pemula (startup) menjelang akhir tahun ini di bawah platform Startup ASEAN yang baharu dilancarkan.

Platform tersebut berfungsi sebagai gerbang digital serantau untuk menghubungkan dan memperkasakan syarikat pemula, pelabur dan bakat di seluruh Asia Tenggara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, ketika ini platform itu merupakan tuan rumah kepada kira-kira 5,000 syarikat pemula sejak ia mula beroperasi sepenuhnya.

"Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 syarikat permulaan menjelang akhir tahun, dan kami sudah mencapai kira-kira separuh daripada itu.

"Ini menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, dan kami berharap platform itu akan membantu seluruh rantau berkembang bersama.

"Faedahnya tidak terhad kepada satu negara tetapi meluas ke semua Negara Anggota ASEAN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran platform tersebut di sini.

Pelancaran rasminya di peringkat serantau adalah pengaktifan sepenuhnya platform berkenaan, yang dilengkapi komponen penting untuk menyokong ekosistem inovasi ASEAN.

Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, menerajui inisiatif yang dibangunkan dengan kerjasama semua 10 negara anggota Asean itu melalui MOSTI; dengan Cradle Fund Sdn. Bhd bertindak sebagai pelaksana.

BERITA BERKAITAN:

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM