SINGAPURA, 25 Jun – Dunia masa kini sedang menghadapi pelbagai bentuk ketidaktentuan, termasuk transformasi digital, pergerakan migrasi manusia dan ketidaksamaan akibat arus globalisasi yang semakin mendalam.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, dalam keadaan yang mencabar ini, kekuatan sosial masyarakat sejagat sedang diuji dan memerlukan pendekatan bersepadu yang menekankan ketahanan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama dan keberanian secara kolektif daripada semua pihak berkepentingan.
“Apabila ketidaktentuan berlaku, terdapat kecenderungan untuk berundur (kembali kepada perkara selesa) sehingga menjadikan masyarakat mementingkan diri dan hanya peduli kepada kelompok sendiri, mempertahankan keistimewaan masing-masing serta memuja masa lalu (kerana takut untuk berubah).
Namun beta yakin, jawapan kepada ketidaktentuan bukanlah pengunduran,” titah baginda.
Baginda berkenan menyampaikan ucaptama bertajuk “Navigating Uncertainty” pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Satu Padu (ICCS) kali ke-3 di sini, hari ini.
Sultan Nazrin turut menegaskan bahawa bagi membina semula kepercayaan masyarakat memerlukan pelaburan dalam literasi media, integriti digital dan komunikasi jujur, yang bukan sekadar kawalan semata-mata.
"Kita perlu melabur semula dalam kontrak sosial. Kita perlukan institusi yang telus, kepimpinan yang bertanggungjawab dan ruang sivil yang membuatkan rakyat merasa dihargai dan didengari," titah baginda.
Baginda turut menyentuh mengenai kepentingan menerima kepelbagaian melalui penerimaan budaya, agama, identiti dan asal usul yang berbeza, serta perspektif sosial dan politik yang pelbagai.
Malah, keadilan sosial, ekonomi dan ekologi perlu dijadikan teras dalam penggubalan dasar.
Baginda turut bertitah bahawa di peringkat nasional, kerajaan perlu menggandakan untuk menggalakan keterangkuman dan integrasi, serta membina keharmonian dan persefahaman antara masyarakat pelbagai latar belakang kerana ini adalah cabaran yang tidak boleh diabaikan.
"Akibat daripada sebuah masyarakat yang berpecah belah adalah amat serius," titah baginda.
Persidangan ICCS yang diasaskan oleh bekas Presiden Singapura Halimah Yacob dianjurkan oleh S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS) dan disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura.
Ia menghimpunkan pemikir global, pembuat dasar, penggiat masyarakat dan pemimpin muda untuk berkongsi idea, amalan terbaik dan mencari penyelesaian inovatif bagi membina masyarakat majmuk yang kukuh dan berdaya tahan di seluruh dunia.