KUALA LUMPUR, 28 Julai - Kerajaan memberi jaminan bahawa pelaksanaan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak akan menjejaskan sektor pembinaan secara mendadak, selaras dengan komitmen untuk memastikan pembangunan infrastruktur negara berjalan lancar.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beberapa langkah proaktif telah diambil termasuk pengecualian SST bagi kategori projek pembinaan tertentu seperti bangunan kediaman dan kemudahan awam. Ia merangkumi rumah ibadah, tandas awam serta taman rekreasi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
"Kerajaan Madani laksanakan SST secara adil dan berkesan, dengan memberi ruang kepada industri pembinaan menyesuaikan diri sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dikenakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir. Haji Yusuf Abd. Wahab berkenaan kategori projek pembinaan yang dikecualikan daripada
dikenakan cukai SST di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Maslan turut menambah bahawa tiada tindakan pendakwaan atau penalti berkaitan pelaksanaan SST dalam sektor itu akan diambil hingga 31 Disember 2025, sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap cabaran industri.
Selain itu, aktiviti perniagaan-ke-perniagaan (B2B) terpilih turut dikecualikan daripada SST tertakluk kepada syarat tertentu. Sebagai contoh, subkontraktor yang menjalankan kerja bernilai bawah RM1.5 juta tidak dikenakan SST walaupun kontraktor utama terlibat dikenakan cukai tersebut.
Pada masa sama, bahan binaan asas seperti simen, batu kerikir dan pasir kekal berkadar sifar di bawah cukai jualan sebagai sokongan kepada industri pembinaan tempatan.
Bagi memastikan peralihan kepada sistem cukai yang baharu ini berjalan lancar, beliau turut memaklumkan bahawa projek sedia ada yang tidak mempunyai peluang untuk dikaji semula akan diberi tempoh pengecualian selama setahun.
Langkah itu bertujuan memberi masa yang mencukupi kepada syarikat dan kontraktor untuk membuat penyesuaian dari segi pendaftaran dan pematuhan cukai.