KUALA LUMPUR, 28 Julai - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan kepada Ketua Hakim Negara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Istana Negara, hari ini.
Wan Ahmad Farid, 62, turut mengangkat serta melafaz sumpah taat setia jawatan pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan Ketua Hakim Negara yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Beliau yang sebelum ini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan, turut dikurniakan Suratcara Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan.
Istiadat berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pada istiadat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan kepada Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi, diikuti Suratcara Pelantikan kepada lapan Hakim Mahkamah Rayuan serta 14 Hakim Mahkamah Tinggi.
Suratcara Pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Rayuan dikurnikaan kepada Dr. Shahnaz Sulaiman, Datin Paduka Evrol Mariette Felix Michael Peters, Ong Chee Kwan, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, Leonard David Shim, Nadzarin Wok Nordin, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan Muniandy Kannyappan.
Suratcara Pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Tinggi dikurniakan kepada Maslinda @ Linda Mohd Ainal, Datuk Faridz Gohim Abdullah, Dr. Choong Yeow Choy, Saiful Azian Mokhtar, Evawani Farisyta Mohamad dan Indra Nehru Savandiah.
Suratcara Pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Tinggi turut dikurniakan kepada Sumathi Murugiah, Moses Susayan, Kan Weng Hin, Dr. Wendy Ooi Su Ghee, Mohd Rosli Yusoff, Dr. Hazlina Hussain, Roszianayati Ahmad dan Mohamad Haldar Abdul Aziz.