fb fb fb fb fb

Wan Ahmad Farid angkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara ke-17

Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 di Istana Negara.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu diadakan di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara pada pukul 8.45 pagi, di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Wan Ahmad Farid, 62, sebelum ini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan, mengenakan baju Melayu hitam bersamping keemasan ketika menerima surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan.

Beliau turut dikurniakan surat cara pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Upacara tersebut disusuli dengan penandatanganan dokumen rasmi pelantikan serta bacaan doa dipimpin oleh Pegawai Agama Istana, Datuk Munir Md Salleh.

Istiadat berkenaan turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada istiadat sama, Datuk Abu Bakar Jais turut menerima surat cara pelantikan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, manakala Datuk Azizah Nawawi dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Pelantikan turut melibatkan barisan Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Dr. Shahnaz Sulaiman, Datin Paduka Evrol Mariette a/p Felix Michael Peters, Ong Chee Kwan, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, Leonard David Shim, Nadzarin Wok Nordin, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan Muniandy a/l Kannyappan.

Turut dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi ialah Maslinda @ Linda Mohd Ainal, Dato’ Faridz Gohim Abdullah, Dr. Choong Yeow Choy, Saiful Azian Mokhtar, Evawani Farisyta Mohamad, Indra Nehru a/p Savandiah, Sumathi a/p Murugiah, Moses Susayan, Kan Weng Hin, Dr. Wendy Ooi Su Ghee, Mohd Rosli Yusoff, Dr. Hazlina Hussain, Roszianayati Ahmad dan Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Pelantikan barisan tertinggi institusi kehakiman ini mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh sistem perundangan serta menjunjung prinsip keadilan, integriti dan keluhuran undang-undang.

Wan Ahmad Farid menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib awal bulan ini.

Beliau berasal dari Kuala Terengganu, memulakan kerjaya dalam bidang perundangan selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) dari University of West London pada 1985 serta Sijil Amalan Guaman (CLP) dari Universiti Malaya pada 1986.

Selain penglibatan dalam bidang kehakiman, beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dari 2003 hingga 2008 sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.

Pada tahun 2024, beliau turut memainkan peranan penting dalam keputusan kes berkepentingan awam membabitkan saman pemula yang difailkan peguam Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berhubung bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam mengisytiharkan darurat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI