KUCHING, 28 Julai - Orang ramai diingatkan supaya memasang Jalur Gemilang mengikut tatacara yang betul dan tidak terbalik sebagai tanda hormat kepada negara.
Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak, Ismalia Hasimi berkata, pemasangan Jalur Gemilang yang tepat mencerminkan semangat patriotik dan kefahaman terhadap simbol negara.
"Masyarakat perlu peka, apabila memasang Jalur Gemilang, pastikan kedudukannya betul. Jika ragu-ragu, boleh rujuk kepada JaPen," katanya.
Ismalia berkata demikian ketika ditemui RTM selepas ditemu bual dalam siaran Sarawak FM sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sarawak, di sini pagi tadi.
Terdahulu, beliau diminta mengulas berhubung kepekaan rakyat terhadap isu Jalur Gemilang, susulan beberapa insiden yang menunjukkan pemasangan dan paparannya di media sosial tidak mengikut garis panduan yang betul.
Tambahnya, JaPen akan melaksanakan kempen kesedaran berkaitan tatacara penggunaan dan pemasangan Jalur Gemilang yang betul kepada orang awam.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sarawak 2025 akan diadakan di Kompleks Sukan Satok pada Sabtu ini.
Program berkenaan akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.