KULIM, 28 Julai - Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Kulim di Kedah bernilai RM588 juta akan memberi manfaat secara terus kepada rakyat menerusi penyediaan perkhidmatan rawatan kesihatan yang terbaik serta memberikan nilai tambah kepada hasrat menjadikan Kulim Hi-Tech sebagai destinasi pelaburan asing yang utama.
Ia juga selari dengan penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyediakan infrastruktur awam dengan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, projek berkenaan diluluskan di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 tahun 2025.
Projek itu telah diluluskan selepas tinjauan awal yang mendapati kemudahan hospital sedia ada perlu dinaik taraf untuk menampung permintaan penduduk setempat.
Katanya, keluasan tapak bagi blok tambahan tersebut adalah berkeluasan 10 ekar dengan kapasiti 230 katil, 60 bilik konsultasi dan lapan buah dewan bedah berserta komponen utama hospital.
Kerja-kerja awalan bagi projek berkenaan telah mula dilaksanakan pada 22 Mei lalu merangkumi kerja-kerja ukur serta siasatan tanah.
"Penambahan bangunan hospital ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan, termasuk mengurangkan masa menunggu pesakit di Jabatan Kecemasan, menawarkan perkhidmatan klinik pakar serta menyediakan tambahan dewan bedah," katanya.
Beliau bercakap demikian selepas melakukan lawatan kerja dan mendengar taklimat perkembangan terkini Projek Pembinaan Bangunan Tambahan tersebut di Hospital Kulim di sini.