fb fb fb fb fb

KBS komited perkukuh pembangunan sukan Muay Thai di Malaysia

Adam Adli Abdul Halim

KUALA LUMPUR, 28 Julai -Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited memperkukuh pembangunan sukan Muay Thai di Malaysia dengan pelbagai bentuk sokongan, termasuk geran dan kerjasama strategik bersama Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM) dan badan antarabangsa.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim menjelaskan bahawa KBS melalui Majlis Sukan Negara (MSN) telah memperuntukkan lebih RM2.1 juta bagi pembangunan Muay Thai hingga Jun 2025.

KBS melalui Majlis Sukan Negara (MSN) sentiasa bekerjasama dengan Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) yang diiktiraf sepenuhnya oleh International Federation of Muaythai Associations (IFMA), iaitu badan sukan Muaythai yang turut mendapat pengiktirafan daripada Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC).

"Bagi memastikan perkembangan sukan Muay Thai terus diperkukuh, sehingga bulan Jun 2025, KBS telah memberikan bantuan masing-masing berjumlah RM55,000 melalui Dana Sukan Komuniti (DSK), RM1.585 juta melalui Geran Padanan Sukan (GPS) dan RM247,000 melalui geran Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi tujuan penganjuran pertandingan Muay Thai di negara ini.

"Tidak terkecuali kelab-kelab Muay Thai di seluruh negara juga telah mendapat bantuan dari KBS sebagai contoh kelab Muay Thai Rentap dari Sarawak telah menerima bantuan sebanyak RM95,000.00," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lubok Antu, Tuan Roy Angau Anak Gingkol berkenaan rancangan untuk memperhebat penganjuran acara sukan Muay Thai di Malaysia dalam sesi lisan di Dewan Rakyat, di sini.

Adam Adli turut menekankan bahawa usaha KBS dalam menyelaras pembangunan sukan tempur bersama Kementerian Pendidikan agar aktiviti seperti Muay Thai boleh diperkasa di peringkat sekolah.

"Kalau sebelum ini kita lihat sukan sukan tempur yang mana telah pun memberi banyak pulangan pingat kepada negara di kategorikan sebagai badan uniform.

"Sekarang telah pun diselaraskan semula untuk dikategorikan sebagai sukan dan ini yang membolehkan pembangunan sukan tempur termasuk Muay Thai ini dapat dianjurkan dan dapat kita rancakkan di peringkat akar umbi termasuk di peringkat sekolah," katanya.

Bagi tahun 2025 dan 2026, KBS turut merancang beberapa kejohanan besar bersama PMM termasuk Kejohanan Kebangsaan di ibu negara dari 24 hingga 27 Julai, Kejohanan ASEAN Junior dan Senior dari 27 hingga 30 Ogos di Petaling Jaya serta IFMA World School Championship.

"Jadi ini menunjukkan bahawa kerjasama kita bersama dengan persatuan… Inilah sebenarnya yang boleh menjamin bahawa lebih banyak penganjuran dan penglibatan anak-anak kita termasuk dalam Sukan Malaysia (SUKMA).

"Inilah antara cara kita bangkitkan atau kita beri tumpuan kepada pembangunan sukan termasuk sukan Muay Thai ini," katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa Muay Thai merupakan sukan berfasa bawah Majlis Sukan Negara (MSN), dan penyertaan ke kejohanan luar negara ditentukan mengikut pencapaian dan piawaian ditetapkan MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Atlet berprestasi tinggi juga layak menerima insentif bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI