fb fb fb fb fb

SSM sumbang wakalah zakat korporat peralatan perubatan kepada Hospital Queen Elizabeth

(Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah menyampaikan replika cek sumbangan 
peralatan perubatan kepada Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Dr William Gotulis)

KOTA KINABALU, 23 September- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat berbentuk peralatan perubatan kepada Hospital Queen Elizabeth bernilai RM181,300.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata sumbangan peralatan itu bertujuan membekalkan sokongan peralatan berteknologi yang diperlukan dalam mengendalikan rawatan dan pemulihan pesakit.

Ia terdiri daripada ventilator, chestwall oscillation machine dan finecare FIA meter yang disampaikan kepada Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Dr William Gotulis.

"Dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawab, SSM turut menitikberatkan urusan kebajikan dalam membantu golongan masyarakat yang memerlukan melalui peruntukan Wakalah Zakat Korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SSM seiring dengan nilai teras Malaysia MADANI yang menerapkan kesejahteraan dan ihsan dalam kalangan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan sejak Januari hingga 31 Ogos tahun ini, SSM telah mengagihkan peruntukan Wakalah Zakat Korporat SSM sebanyak RM6,487,551 kepada golongan asnaf di seluruh negara.

Sementara bagi peruntukan CSR pula, SSM telah mengagihkan sejumlah RM419,847 kepada golongan yang memerlukan.

Selain itu, SSM juga sebelum ini telah menyumbang peralatan perubatan kepada lima hospital iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Hospital Maliha, Langkawi dan Hospital Kapit yang kesemuanya berjumlah RM561,660.

(Sumbangan peralatan  terdiri daripada ventilator, chestwall oscillation machine dan finecare FIA meter)

Media Baharu