BUKIT MERTAJAM, 23 September - Kementerian Kewangan (MOF) menerima 10,000 maklum balas daripada orang ramai melalui portal Cadangan Belanjawan 2024 dan kini di peringkat akhir untuk dimasukkan ke dalam belanjawan itu yang dijadual dibentangkan pada 13 Oktober depan.
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata manakala sesi libat urus yang dijalankan secara bersemuka pula mendapat penyertaan lebih 8,000 orang di seluruh negara melibatkan pelbagai pihak termasuk peringkat negeri, sektor dan kementerian.
"Semuanya akan dirumuskan dan dipertimbangkan untuk masuk dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan tidak sampai sebulan lagi.
"Semua maklum balas itu juga di tahap penilaian dan kami akan ambil balik untuk analisa, seterusnya buat rumusan dan sekarang ini ia peringkat terakhir persiapan belanjawan tersebut," katanya.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam ditemui pemberita pada program Jualan Rahmah Parlimen Bukit Mertajam, di sini.
Belanjawan 2024 dijangka terus memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat, bantuan diteruskan serta ditambah baik, begitu juga pembangunan prasarana negara.