(Al-Sultan Abdullah pada Majlis Perasmian Mahkamah Syariah Bera, di sini, hari ini/ BERNAMA)
BERA, 23 September- Pengurusan Mahkamah Syariah termasuk kedudukan hakim dan peguam syarie perlu terus diperkasa dan ditambah baik bagi menambah kewibawaan sistem perundangan Islam di negara ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah agar selain itu, Mahkamah Syariah juga mesti bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam membuat keputusan terutamanya di dalam menyelesaikan kes kekeluargaan dan jenayah syariah.
"Hakim-hakim syarie, pegawai mahkamah dan peguam syarie turut juga bertanggungjawab secara kolektif dalam memastikan prosiding mahkamah berjalan lancar.
"Saya berharap agar lebih banyak usaha dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk memperkasakan institusi Mahkamah Syariah dan institusi Agama Islam yang lain," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Mahkamah Syariah Bera, di sini, hari ini.
(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah)
Turut berkenan hadir, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.
Hadir sama Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohd Amran Mat Zain; Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Walid Abu Hassan dan mantan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketika bertitah, Al-Sultan Abdullah turut menyentuh mengenai keberkesanan konsep Sulh atau pendamaian yang telah berupaya menyelesaikan kes kekeluargaan.
"Sebanyak 85 peratus daripada kes Sulh yang didaftarkan di mahkamah di seluruh negara sejak 2019 hingga 2022 telah berjaya diselesaikan secara damai menerusi prosiding Sulh tanpa proses perbicaraan," titah Seri Paduka Baginda.
Sementara itu mengenai Mahkamah Syariah Bera yang telah siap dibina pada Jun 2016 dengan peruntukan sebanyak RM6.5 juta, baginda bertitah ia merupakan pengiktirafan kepada institusi agama Islam dan bukti jelas kepada pembangunan syiar agama di Pahang.
"Majlis ini membawa pengertian yang bermakna kerana bangunan ini adalah merupakan mercu tanda kepada ketinggian institusi Mahkamah Syariah di negara ini. Saya percaya bangunan mahkamah di Bera ini bakal memainkan peranan besar dalam mentadbir undang-undang Islam khususnya di daerah ini," titah baginda lagi.