KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menyalurkan sumbangan Wakalah Zakat Korporat berjumlah RM282,350 kepada Hospital Kemaman serta lapan institusi keagamaan di daerah ini.
Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz mewakili Pengerusi, Ahmad Sabki Yusof pada Program Kasih SSM – Sumbangan Peralatan Perubatan dan Majlis Penyerahan Wakalah Zakat Korporat di sini.
SSM dalam satu kenyataan memaklumkan, sumbangan berkenaan merupakan komitmen berterusan dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat serta menambah baik kemudahan awam.
Daripada jumlah itu, RM242,350 disalurkan bagi pembekalan sembilan jenis peralatan perubatan berteknologi tinggi kepada Hospital Kemaman termasuk pam picagari, pam infusi, inkubator Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan pneumatic tourniquet.
“Peralatan ini akan menyokong rawatan serta pemulihan pesakit selain meningkatkan keupayaan hospital memberi perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan berkualiti,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, RM40,000 diagihkan kepada lapan institusi keagamaan di sekitar Kemaman iaitu Akademi Pengajian Al Bahjah, Maahad Tahfiz Al-Itqan, Persatuan Kebajikan Al-Islam Huzai, Masjid Jamek Kemasik, Masjid Kampung Semayor, Masjid Kampung Bukit Kukuran, Surau An-Nur dan Surau Kampung Feri Kemasik.
Dana berkenaan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur agar lebih selesa bagi kegunaan masyarakat setempat.
SSM memaklumkan, sejak beberapa tahun lalu, suruhanjaya itu menyalurkan peralatan perubatan bernilai lebih RM1.4 juta kepada lapan hospital termasuk Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultanah Maliha, Hospital Kapit, Hospital Queen Elizabeth, Hospital Papar dan Hospital Seri Manjung.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai tahun ini, SSM turut mengagihkan lebih RM5.1 juta dana Wakalah Zakat Korporat kepada 7,773 penerima asnaf di seluruh negara serta menyalurkan lebih RM400,000 melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada 480 penerima.