TAWAU, 24 Ogos – Kementerian Pertahanan menunggu maklum balas mengenai prestasi lapan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mula bertugas sebagai warden asrama di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sejak 18 Ogos lalu.
Langkah itu dilaksanakan sebagai projek rintis bagi tempoh enam bulan dengan penilaian menyeluruh akan dibuat oleh pihak MARA dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata pengalaman serta disiplin tinggi dimiliki bekas anggota tentera diyakini dapat membantu membentuk sahsiah pelajar MRSM.
“Setakat ini terdapat lapan veteran kita yang ditempatkan di MRSM. Dalam tempoh enam bulan, kita akan menilai keberkesanannya dengan mendapatkan maklum balas daripada MARA serta laporan daripada warden-warden terbabit.
"Jika hasilnya positif, kita akan kembangkan lagi inisiatif ini. Kementerian juga terbuka untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, MARA dan institusi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Pos Kawalan Batalion Ke-14 Pasukan Gerakan Am di Pulau Sebatik, Tawau, hari ini.
Selain MARA, JHEV turut mengadakan perbincangan dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKSEM) bagi meneliti potensi pengambilan veteran untuk bertugas di bawah pasukan beruniform berkenaan.
Inisiatif itu mencontohi kejayaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang sebelum ini melantik lebih 400 bekas tentera sebagai Renjer Komuniti.
Menurut Adly, usaha berterusan itu sejajar dengan komitmen kementeriannya mengupayakan kerjaya kedua buat veteran ATM melalui kerjasama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
Langkah itu juga selaras dengan Pelan Strategik MINDEF 2021-2025: Teras 7 – Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM serta Amanat Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan: Fokus 4 – Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan Warga Pertahanan.
Terdahulu, lapan veteran ATM daripada Persatuan Veteran ATM mula bertugas di dua MRSM iaitu MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang.