PUTRAJAYA , 11 Oktober - Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin tiba di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya kira-kira pukul 7.20 malam tadi, bagi memenuhi jemputan Makan Malam yang dihoskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena Lawatan Kerja Rasmi dua hari beliau ke Malaysia bermula hari ini.
Menerusi lawatan kerja sulung beliau ke Malaysia sejak dilantik menjadi Perdana Menteri Thailand pada 5 September lalu, ia membawa kepada penubuhan jawatankuasa khas peringkat tertinggi bagi mempertingkatkan kerjasama dalam beberapa bidang berkepentingan.
Ini termasuk memperkasa bidang pertanian, pelancongan, keselamatan, perdagangan dan perniagaan, serta industri halal.
Terdahulu sejurus tiba pada pagi tadi, Srettha menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Jadual padat Srettha diteruskan dengan pertemuan empat mata bersama-sama Perdana Menteri di Putrajaya.
(Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin (kiri) dan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan)
di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya)