PUTRAJAYA, 21 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menyita pelbagai jenis aset bernilai RM97.9 juta sepanjang tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya telah membuka sebanyak 1,163 kertas siasatan, dengan 1,334 individu ditangkap dan 453 individu didakwa di mahkamah.
Tindakan tersebut melibatkan kes-kes di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pengubahan Wang Haram 2001, serta Kanun Keseksaan.
“Di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, nilai pembekuan aset adalah sebanyak RM116,692,585.69. Selain itu, SPRM juga telah berjaya mengutip sejumlah RM60,824,128.02 di bawah kompaun dan penalti yang dikenakan,” katanya pada sidang media, di sini.
Azam turut menyatakan jumlah pemulihan aset di bawah prosedur tersebut berjumlah RM66,556,565.02.
Beliau menegaskan tindakan pelucutan hak aset dilaksanakan mengikut peruntukan yang terdapat dalam Kanun Tatacara Jenayah, Akta Pengubahan Wang Haram 2001, dan Akta SPRM 2009.
Dalam perkembangan lain, SPRM telah menyelesaikan siasatan terhadap kes rasuah berkaitan perolehan projek mineral yang melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
Azam berkata, kertas siasatan kes itu telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. SPRM turut memanggil seramai 18 ADUN Sabah bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Jadi kedua-dua pihak, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah dan SPRM, bertukar-tukar serta berkongsi maklumat bagi menyelesaikan kes ini. Saya difahamkan PDRM juga telah menyerahkan fail siasatan mereka kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Jabatan Peguam Negara untuk diselaraskan. Keputusan sama ada kes ini akan didakwa atau tidak akan dibuat berdasarkan maklumat yang dikumpul,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyentuh mengenai siasatan berasingan melibatkan lapan ADUN Sabah yang dikaitkan dengan satu rakaman video seperti didedahkan oleh sebuah portal baru-baru ini.
Azam memberi jaminan bahawa siasatan tersebut akan dijalankan secara telus dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan, Februari ini.