PUTRAJAYA, 21 Januari – Penganjur perhimpunan yang dirancang berlangsung di ibu negara Sabtu ini diingatkan agar mematuhi sepenuhnya peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pematuhan itu meliputi tanggungjawab peserta, penganjur, dan pihak polis dalam memastikan perhimpunan berlangsung secara aman dan teratur.
“Penganjur tahu tanggungjawab mereka, termasuk memaklumkan kepada pihak polis supaya polis dapat melaksanakan tugas memudahkan perhimpunan. Sebagai contoh, kanak-kanak tidak dibenarkan menyertai perhimpunan seperti yang termaktub dalam akta. Jika ini dilanggar, tindakan akan diambil oleh polis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau reruai pada Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025, di sini
Saifuddin turut menegaskan pihak polis bertanggungjawab untuk memudah cara perhimpunan selagi semua peraturan dipatuhi oleh pihak penganjur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Polis, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan pihaknya telah menerima Notis Pemberitahuan berkaitan penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang dijadualkan pada 25 Januari ini.
Namun, hasil semakan mendapati notis tersebut tidak lengkap kerana tidak menyertakan salinan persetujuan pemilik atau penghuni lokasi perhimpunan.
“Pada 17 Januari lalu, polis telah menghantar maklum balas kepada pihak penganjur supaya memenuhi syarat seperti yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.
ACP Sulizmie turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan yang melanggar undang-undang.
Tegas beliau, tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan tersebut.