fb fb fb fb fb

SPRM siasat keluarga, rakan suspek skandal ‘counter setting’

Tan Sri Azam Baki bercakap kepada media selepas persidangan di Sepang.

SEPANG, 18 September - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti rekod kewangan ahli keluarga dan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan suspek yang ditahan dalam skandal sindiket counter setting.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan tidak hanya tertumpu kepada suspek utama, sebaliknya melibatkan semua individu yang mempunyai kaitan langsung atau tidak langsung dengan kes berkenaan.

"Kebiasaannya apabila siasatan melibatkan pengesanan aset dan aliran wang, akan terdapat kaitan dengan pihak lain. Buat masa ini, individu tersebut dianggap sebagai saksi dan kami perlu mendapatkan penjelasan lanjut daripada mereka yang didakwa memberi wang," katanya.

Menurut beliau, walaupun kes ini tidak melibatkan jejak aliran wang yang panjang seperti kes korporat, pihak terbabit tetap perlu menjelaskan sumber kewangan mereka.

Tan Sri Azam Baki menegaskan sehingga kini tiada tangkapan baharu dibuat, namun tidak menolak kemungkinan penahanan tambahan berdasarkan penilaian pegawai penyiasat.

Pada 10 September lalu, SPRM menahan 27 individu termasuk 18 pegawai penguat kuasa kerana disyaki terbabit dengan sindiket counter setting yang melepaskan warga asing masuk tanpa prosedur sah.

TUN JULIA MOHD TAHIR