fb fb fb fb fb

Dashboard H.E.M.A.T, pemacu reformasi budaya kerja penjawat awam

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 September- Pelancaran Dashboard H.E.M.A.T yang dibangunkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuh Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata inisiatif itu membawa budaya kerja baharu berteraskan nilai Malaysia MADANI.

“Antara sebab utama kita melancarkan Dashboard H.E.M.A.T ini adalah untuk merubah budaya kerja penjawat awam. Kita tinggalkan budaya lama dan bawa budaya kerja baharu berasaskan nilai-nilai H.E.M.A.T, ditunjangi tiga prinsip utama iaitu memudahkan, menyegerakan dan mempercepatkan perkhidmatan kepada rakyat.

"Dengan iltizam semua penjawat awam serta pelarasan gaji baharu, saya yakin ia akan mendorong kita memberi perkhidmatan yang lebih baik, sekali gus menunjukkan kerajaan Madani benar-benar perhatian kepada keperluan rakyat,” kata Tan Sri Wan Ahmad Dahlan ketika ditemui selepas majlis pelancaran.

Dashboard H.E.M.A.T. dibangunkan sebagai platform digital untuk menyelaras dan menilai inisiatif kerajaan secara telus, berstrategi dan berimpak tinggi.

Ia berteraskan lima nilai utama iaitu Hijrah Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran (H.E.M.A.T).

Melalui sistem tersebut, setiap projek dinilai berdasarkan kos optimum, inovasi digital serta impak terukur menggunakan rubrik pemarkahan yang dibangunkan bersama Universiti Putra Malaysia (UPM).

Setakat ini, sebanyak 93 inisiatif telah didaftarkan, dengan penilaian oleh 24 panel yang terdiri daripada ahli akademik dan pegawai kanan JPA serta Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Pelancaran Dashboard H.E.M.A.T. bukan sahaja menandakan inovasi digital dalam pentadbiran, malah manifestasi kesungguhan perkhidmatan awam untuk terus berdaya cipta, berkesan dan berjiwa rakyat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM