KUALA LUMPUR, 18 September- Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025, akta yang diperkenalkan semula oleh Kerajaan MADANI selepas dimansuhkan selama 33 tahun dianggap sebagai satu kejayaan cemerlang dalam sistem demokrasi Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, RUU yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim itu membolehkan Parlimen berfungsi secara bebas sepenuhnya daripada pentadbiran kerajaan dengan kedua-dua pihak; kerajaan dan pembangkang memberikan sokongan penuh terhadapnya.
Tambahnya akta tersebut yang telah diluluskan di Dewan Negara pada Mac lalu, sekali gus mengembalikan fungsi Parlimen sebagai institusi demokrasi utama negara.
"Ini merupakan kejayaan cemerlang kerana institusi Parlimen kini berfungsi secara bebas sepenuhnya daripada pentadbiran kerajaan. Kedua-dua pihak memberikan sokongan penuh terhadap RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.
"Susulan itu, kami telah menubuhkan jawatankuasa pilihan yang terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang," jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ke-46 (AIPA GA) 2025 bertemakan 'Parlimen Menerajui Pembangunan Terangkum dan Mampan ASEAN' di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.
Turut hadir ialah Pengerusi AIPA GA dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Setiausaha Agung AIPA, Siti Rozaimeriyanty Datuk Haji Abdul Rahman, serta delegasi dan wakil daripada negara ASEAN lain.
RUU ini diperkenalkan semula selepas dimansuhkan selama 33 tahun, sekali gus mengembalikan fungsi Parlimen sebagai institusi demokrasi utama negara.
Dalam sesi penggulungan perbahasan RUU itu di Dewan Negara pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 itu mengandungi 15 fasal berbanding hanya lapan fasal dalam Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, akta yang telah dimansuhkan pada 1992.
Dalam ucapan sama, Perdana Menteri turut menyeru pemimpin negara ASEAN untuk mendengar suara dan aspirasi generasi muda sebagai pendekatan inklusif dalam urus tadbir kerajaan yang baik.
Beliau menjelaskan, ASEAN menyediakan platform seluasnya bagi golongan muda dan wanita berkongsi pandangan dalam pelbagai isu, sesuatu yang tidak ditawarkan oleh semua negara.
"Pemimpin negara ASEAN yang berfungsi, kita perlu duduk dan dengar perbincangan anak muda. Pemimpin hanya perlu diam dan dengar luahan mereka.
"Bernasib baik kerana anak muda kini lebih bersederhana berbanding ketika saya muda. Meskipun mereka menyatakan pandangan dengan cara sopan, isu-isu dibangkitkan membimbangkan," katanya.
Beliau menekankan peranan anak muda penting dalam mendepani cabaran masa kini termasuk memanfaatkan teknologi baharu, memahami transformasi digital dan memperkasa pengetahuan dalam bidang kecerdasan buatan (AI).