fb fb fb fb fb

Banjir Sabah: KPM pertimbang laksana PdPR jika banjir berlarutan

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek / Foto Bernama

SHAH ALAM, 18 September - Seramai 230 murid daripada 38 sekolah termasuk sebuah institusi pendidikan guru (IPG) dikenal pasti terkesan dengan kejadian banjir di Sabah setakat ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya sedang mempertimbang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya situasi banjir tidak menunjukkan perkembangan positif menjelang pembukaan semula sekolah minggu hadapan.

Beliau menjelaskan, ketika ini persiapan lebih tertumpu kepada kerja-kerja pembersihan sekolah bagi memastikan sesi persekolahan dapat dibuka seperti dijadualkan.

“Sekolah yang terjejas di Sabah setakat ini adalah 38 buah termasuk sebuah IPG, iaitu IPG Gaya. Bukan sahaja banjir, tetapi turut terkesan dengan tanah runtuh. Maka, aspek keselamatan warga Kementerian Pendidikan perlu diutamakan terlebih dahulu.

"Begitu juga dengan memastikan akses pendidikan dapat terus dilaksanakan di Sabah walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Pendidikan tetap menjadi keutamaan, namun yang paling penting adalah keselamatan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri TownHall AntiBuli peringkat Negeri Selangor, hari ini.

Fadhlina berkata, tindakan segera diambil di IPG Gaya termasuk mengosongkan beberapa bahagian, khususnya kuarters pekerja serta beberapa blok bangunan berikutan risiko tanah runtuh.

"Selain itu, beberapa blok bangunan turut dikosongkan kerana kita bimbang tanah runtuh ini berlarutan dan menjejaskan keselamatan. Buat masa ini, keselamatan adalah keutamaan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia," katanya.

Terdahulu, media melaporkan situasi banjir di Sabah semakin buruk dengan peningkatan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi tadi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN