fb fb fb fb fb

SPRM serbu dua lagi 'safe house', temui wang asing RM321,000

Gambar hiasan

KOTA KINABALU, 14 Oktober - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu dua lagi 'safe house' dan menemui wang tunai berjumlah RM321,000 yang disimpan di Kuala Lumpur dan sekitar Selangor.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Datuk Seri Panglima Azam Baki, mengesahkan pihaknya menemui sejumlah mata wang Singapura SG$74,000 (kira-kira RM243,000) di sebuah rumah, manakala serbuan di lokasi lain menemui wang tunai sebanyak RM78,000.

"Jadi saya tak boleh dedahkan lebih lagi, tetapi pegawai saya telah menggeledah dua lagi 'safe house' yang dikatakan (tempat) menyimpan wang.

"Saya umumkan, salah satu daripadanya kami menemui wang kira-kira dalam bentuk SGD, dan di satu lagi tempat, iaitu sebuah pejabat, dijumpai wang tunai lebih kurang RM78,000," katanya.

Azam berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, hari ini.

Pada Sabtu lepas, SPRM menemui wang asing bernilai RM5 juta ketika menggeledah sebuah pangsapuri di ibu negara yang dipercayai dijadikan 'safe house' oleh seorang ahli politik berpengaruh.

SPRM juga mendapat maklumat mengenai wang yang telah dilaburkan di Singapura, namun butiran pemilik dan jumlah pelaburan tersebut masih dirahsiakan kerana siasatan masih berjalan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti ahli politik tersebut dan tidak menolak kemungkinan individu terlibat akan dipanggil untuk siasatan lanjut.

GRACE AISYAH KEDAYAN