fb fb fb fb fb

Kunjungan kapal tentera China ikut prosedur diplomatik

Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Kunjungan dua kapal tentera China bersama pelajar daripada Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang pada 5 Oktober lalu dilakukan mengikut prosedur diplomatik yang dipohon oleh kedutaan China dan tiada peraturan Malaysia yang dilanggar.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa lawatan tersebut adalah sebahagian daripada Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China dan ia mendapat persetujuan Kementerian Pertahanan serta kelulusan diplomatik Kementerian Luar.

"Yang lain-lain adalah urusan kerajaan negeri tetapi permohonan diplomatik daripada kedutaan China jelas ada memohon," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Tumpat Datuk Mumtaz Md Nawi yang menyatakan kebimbangan tentang mesej yang mungkin disalah anggap oleh rakyat berikutan ketibaan kapal berkenaan di Pulau Pinang.

Mohamad menegaskan kunjungan berkenaan tidak melibatkan sebarang pelanggaran peraturan, namun jika terdapat sebarang isu, pihak berkuasa akan menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, tambahnya, sebagai negara pengemudi Persidangan ASEAN 2025, Malaysia komited untuk menyelesaikan isu berkaitan Laut China Selatan.

Komitmen berkenaan dinyatakan melalui pelbagai libat urus termasuk peranan Malaysia sebagai negara penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China sehingga tahun 2027.

Jelas beliau, usaha berkenaan melibatkan rundingan untuk memuktamadkan draf Kod Tatacara (Code of Conduct) bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di kawasan tersebut.

"Malaysia berazam sebagai negara penyelaras dengan China untuk tiga tahun akan datang. Negara ini akan berusaha sedaya upaya untuk memuktamadkan Kod Tatacara Laut China Selatan yang boleh dijadikan rujukan bersama," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy mengenai tindakan kementerian di peringkat antarabangsa dalam menangani isu kedaulatan wilayah maritim Malaysia di perairan Laut China Selatan.

SITI AISHAH MD ISA