fb fb fb fb fb

RM550 juta diperuntuk lindungi Hutan Simpan Negara sejak 2019 - Nik Nazmi

Menteri NRES, Nik Nazmi Nik Ahmad/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited memastikan pembangunan negara berjalan seiring dengan usaha memelihara hutan simpan untuk menjaga alam sekitar.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata walaupun pengurusan hutan tertakluk di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri (PBN) seperti yang dinyatakan dalam Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan, kementerian masih mempunyai peranan signifikan dalam aspek tertentu.

Ia merangkumi penyelidikan, latihan, serta pelaksanaan pelbagai inisiatif melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bagi memastikan kelestarian hutan negara.

"Sejumlah kira-kira 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal dan santuari hidupan liar di Kedah, Perak, Selangor, Terengganu, dan Negeri Sembilan.

"Bagi tempoh 2019 hingga 2024, peruntukan bagi insentif kewangan konservasi biodiversiti dan hutan (EFT) berjumlah RM550 juta, termasuk sebanyak RM200 juta untuk tahun ini," kata Nik Nazmi ketika menjawab pertanyaan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (wakil Balik Pulau).

Beliau berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memelihara hutan simpan, termasuk insentif kewangan bagi EFT yang mula diperkenalkan pada tahun 2019.

Insentif itu diberikan kepada Kerajaan Negeri yang berusaha melindungi kawasan hutan tadahan air dan memperluaskan kawasan perlindungan serta Hutan Simpanan Kekal (HSK) baharu.

GRACE AISYAH KEDAYAN